Saturday, July 31, 2010

Tugasan 1 KPT 6043

Tugasan 1 Ringkasan dan Ulasan Jurnal

Ringkasan dan Ulasan Jurnal

Kesan Model Pembelajaran Berasaskan Kaedah Penyelesaian Masalah Ke Atas Pelajar Berbeza Gaya Kognitif Dan Kemahiran Logik

oleh

Ahmad Rizal Madar, Nurliana Musa & *Yahya Buntat

Fakulti Pendidikan Teknikal, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

*Jabatan Pendidikan Teknik & Vokasional, Fakulti Pendidikan

Universiti Teknologi Malaysia.


Setelah saya membaca jurnal ini, didapati peluang pekerjaan dalam bidang Teknologi Informasi dan Komunikasi (ICT) semakin meningkat mengikut kajian Knowledge Worker Exchange (2004). Namun kemahiran pengaturcaraan yang dituntut oleh pihak industri ini kurang dimiliki oleh graduan tempatan. Oleh itu kajian dijalankan ke atas pelajar Diploma Kejuteraan Elektrik dan Elektronik Politeknik yang mengambil subjek Pengaturcaraan Komputer. Kajian ini bertujuan mengkaji kesan penggunaan model pembelajaran berasaskan kaedah penyelesaian masalah ke atas pelajar dengan gaya kognitif Field Dependent (FD) dan Field Independent (FI) serta tahap kemahiran logik tinggi (LT) dan tahap kemahiran logik rendah (LR). Adakah penggunaan model pembelajaran ini mampu meningkatkan pembelajaran pelajar dalam subjek Pengaturcaraan Komputer.

Dalam kajian ini pelajar dibezakan berdasarkan kepada gaya kognitif iaitu Field Dependent (FD) dan Field Independent (FI). Adalah penting untuk memahami gaya kognitif pelajar kerana kesilapan memadankan gaya kognitif pelajar dengan gaya pengajaran atau pembelajaran boleh menyebabkan pelajar mudah merasa bosan. Seseorang yang bergaya kognitif FD adalah berfikiran holistik, interpersonal dan lebih mudah dipengaruhi oleh orang lain maka bermotivasi luaran manakala seseorang yang bergaya kognitif FI berfikir secara analitik, intrapersonal, lebih suka menyendiri dan bermotivasi dalaman. Manakala kemahiran logikal serta analitikal adalah penting dalam menentukan kebolehan individu menyelesaikan masalah. Kemahiran logikal dan analitikal diperlukan bagi memahami masalah, menganalisis situasi dan menyemak keputusan bagi setiap langkah manakala kreativiti diperlukan untuk mereka bentuk penyelesaian bagi masalah tersebut.

Setelah memahami gaya kognitif pelajar, guru boleh menggunakan model pembelajaran yang sesuai dengan gaya kognitif pelajar tersebut. Sebagai contoh, individu yang bergaya kognitif Field Independent cenderung untuk mengasingkan diri dan berfikiran analitikal maka model pembelajaran kendiri sesuai digunakan untuk individu tersebut. Namun, bagi individu Field Dependent yang suka berada di dalam kumpulan rakan-rakan, model pembelajaran kolaboratif atau koperatif adalah lebih sesuai digunakan. Di sini dapat dilihat, pendekatan pembelajaran yang bersesuaian dengan gaya kognitif pelajar mampu membantu pelajar di dalam proses pembelajaran mereka. Oleh demikian, sebuah model pembelajaran yang berasaskan kaedah penyelesaian masalah ini seharusnya digunakan bagi pembelajaran dalam bidang-bidang teknikal yang memerlukan kebolehan untuk menyelesaikan masalah yang tinggi.

Reka bentuk kajian ini adalah kuasi-eksperimental. Sampel bagi kajian adalah seramai 71 orang pelajar semester 3 Diploma Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik. Instrumen yang digunakan ialah Group Embedded Figures Test (GEFT), Ujian Sequences Test, ujian pra, ujian pos serta model pembelajaran berasaskan kaedah penyelesaian masalah yang mempunyai enam langkah penyelesaian masalah bagi tugas pembangunan aturcara berdasarkan kaedah penyelesaian masalah oleh Deek dan McHugh (2003). Gaya kognitif pelajar ditentukan mengikut markah ujian GEFT di mana markah 0 – 9 akan dikategorikan sebagai FD dan 9–18 sebagai FI. Tahap kemahiran logik pelajar pula ditentukan melalui ujian Sequences dengan markah 0 – 16 adalah logik rendah (LT) dan 17–27 adalah logik tinggi (LT). Kedua-dua ujian tersebut telah diuji kebolehpercayaannya dan nilai Alpha Cronbach adalah melebihi 0.7 yang membuktikan ujian-ujian ini boleh diterima pakai.

Hasil analisis mendapati majoriti pelajar dikategorikan sebagai FI dan LT. Skor min pencapaian pelajar pula menunjukkan bahawa pencapaian kumpulan rawatan adalah lebih baik daripada kumpulan kawalan dan pencapaian pelajar FI dan LT adalah lebih baik daripada pelajar FD dan LR. Kesimpulannya, model pembelajaran berasaskan kaedah penyelesaian masalah berpotensi dalam meningkatkan pencapaian pelajar secara keseluruhannya bagi subjek Pengaturcaraan Komputer dengan pelajar kategori FI dan LT mendapat manfaat yang lebih daripada pelajar kategori FD dan LR. Golongan FD mempunyai masalah dalam mengasingkan maklumat yang relevan daripada arahan bagi tugas yang sukar lalu tidak dapat mengecam bentuk tersembunyi yang terdapat di dalam ujian GEFT. Oleh itu dengan menggunakan model pembelajaran, pelajar FD mendapat manfaat daripada langkah-langkah penyelesaian masalah yang terdapat di dalam model pembelajaran kerana, langkah-langkah penyelesaian masalah membantu pelajar untuk mengasingkan maklumat yang relevan seperti maklumat masukan dan keluaran yang diperlukan dalam sesuatu aturcara komputer. Pelajar FI ini lebih menyukai model pembelajaran ini dan lebih bermotivasi untuk menggunakannya. Pencapaian FI di dalam kajian juga didapati adalah lebih baik berbanding FD. Pencapaian pelajar LT yang lebih baik apabila menggunakan model pembelajaran adalah mungkin kerana langkah-langkah di dalam model menawarkan strategi penyelesaian yang lebih baik. Bagi pelajar LR pula, penggunaan model pembelajaran ini sememangnya sangat membantu kerana kaedah penyelesaian masalah dapat meningkatkan kemahiran berfikir secara logik seseorang individu. Namun, pencapaian pelajar LT adalah lebih baik daripada LR. Ini kerana teras kemahiran penyelesaian masalah adalah pemikiran yang logik. Oleh itu, dengan kemahiran logik yang lebih tinggi maka lebih mahir seseorang itu dalam menyelesaikan masalah.

Maka, dicadangkan oleh pengkaji supaya model pembelajaran ini digunakan dengan lebih meluas lagi oleh guru dalam aktiviti pembelajaran memandangkan ia sesuai untuk digunakan oleh mana-mana golongan pelajar tidak mengira gaya kognitif atau tahap kemahiran logik. Selain itu, beberapa cadangan dikemukakan bagi kajian lebih lanjut dalam kajian ini seperti penambahan elemen visual di dalam model pembelajaran untuk meningkatkan proses pembelajaran seperti yang dinyatakan oleh Hong (2006). Selain daripada itu kajian harus juga dijalankan terhadap tahap motivasi pelajar dalam menggunakan model pembelajaran yang turut mampu mempengaruhi pencapaian pelajar.

Pada pendapat saya pemilihan model pembelajaran yang sesuai dapat mencapai objektif pembelajaran. Oleh itu dengan bantuan model pembelajaran dapat membantu guru mengajar dan menyampaikan maklumat kepada pelajar dengan lebih jelas dan berkesan supaya objektif pengajaran dan pembelajaran guru dapat dicapai. Mengikut Norasiah (2009), inovasi dalam model pembelajaran dapat merangsang pelajar untuk belajar dengan lebih baik kerana mereka juga teruja dengan penggunaan model pembelajaran yang berbagai bentuk. Melalui penggunaan model pembelajaran oleh guru, pelajar lebih jelas tentang sesuatu konsep yang disampaikan oleh guru. Dengan penggunaan model pembelajaran sesuatu penerangan dan gambaran secara menyeluruh dapat diberikan dan dapat dikaitkan dengan kehidupan seharian melalui media seperti internet dan televisyen. Dengan itu dapat mengelakkan kekeliruan dan salah tafsir tentang sesuatu konsep atau idea. Di samping itu, pelajar dapat mempelajari, memahami dan menguasai sesuatu topik secara maksimum dengan masa yang minima. Penerangan guru melalui model pembelajaran lebih mudah, cepat dan tepat.